Friday, March 29, 2013

Cebisan terakhir belas kasihan


Aku tidak faham mengapa aku masih berduka hingga ke saat ini. Message yang dipaparkan pada iPhone4 mama terpapar dengan jelas. Semuanya tentang kisah silamku.

Silap aku juga kerana giat bermain dengan game yang baru sahaja mama muat turun kedalam telefon miliknya. Apakah mama masih membaca message-message tersebut? Aku membatu memikirkan senarai insan-insan yang pernah berkomunikasi dengan mama melalui pesanan ringkas.

Guru Kaunselor, mak cik kesayanganku, bapaku, adikku, guru kelasku, guru teater dan sebanyak guru yang boleh lah. Tidak ku sangka mereka semua dijadikan mata-mata ibuku sewaktu aku di sekolah. Ternyata setelah aku berani menyuarakan diri 2 tahun yang lalu, ibuku sedar akan perubahan ku lantas terus mengambil berat tentang ku. 

Mungkin dia pernah beranggapan  bahawa aku telah salah memilih kawan. Mungkin dia tidak suka akan cara aku menuturkan perbualan ku, dan mungkin dia tidak suka akan sifatku yang suka memendamkan perasaan.

Dari kecil aku dididik untuk mempunyai teman yang kaya lagi bijaksana. Status keluarga mereka hendaklah orang yang besar-besar namanya. Aku pula hanya turuti kemahuan ibuku. Semuanya berjalan lancer sehingga pergaduhan tercetus diantara kami semua. Setelah meningkat remaja, aku semakin sedar, mempunyai kawan yang kaya lagi bijaksana bukanlah satu idea yang baik.

Aku sedar aku perlu mencari seseorang yang boleh dipercayai. Seseorang yang boleh dijadikan tempat mengadu. Seseorang yang berfikiran matang ketika ingin menyelesaikan masalah. Padaku, umur bukanlah penentu tahap kematangan tetapi cara pemikiran menentukannya. Bahkan pada masa kini masih ada orang dewasa yang berfikiran seperti keanak-anakkan.

Mencari sesuatu yang tidak pasti. Itu yang aku alami ketika di menengah rendah. Aku mulai memberontak jika segala kemahuanku tidak tecapai. Melarikan diri dari rumah. Dari orang yang kukenali, tinggal bersendirian tanpa menghiraukan kehidupan orang lain.


Begitu tegas arahan yang mama berikan kepada mak cik ku, acu, yang digelar graduan 3 bulan yang lalu dan kini bekerja sebagai wartawan di NST. Ibuku tidak mahu aku berhubungan dengan mak cik ku yang acap kali dalam masalah kehidupan setelah kehilangan suaminya.

Begitu keras ugutan mama walaupun hanya melalui pesanan ringkas. Dia langsung tidak mahu aku dipertemukan dengan kakak acu yang kami sekeluarga memanggil dengan panggilan adan. Aku tidak perduli kerana itu adalah perkara yang sudah lama berlalu. Aku sudah berada didakapan mama semula dan menjalani hidup seperti biasa. Namun, aku masih tidak mengerti. Sejauh manakah adan boleh membawa ku pergi sedangkan dia sendiri mempunyai masalah yang besar diketika itu? Pasti mama berfikir terlalu jauh pada waktu itu. Yelah, besertakan emosi seorang ibu, apapun tidak mustahil akan berlaku.

Pesanan ringkas antara aku dan mama cukup simple. Aku ingin diambil oleh mama dimana sahaja aku berada, dan mama hanya memberi pesanan seperti ‘jangan lupa angkat kain dan baju yang tersidai’. Tidak ada yang lebih daripada itu.

Terbaca akan semua bingkisan pesanan ringkas pada iPhone mama mengganggu konsentrasi ku ketika berkomunikasi dengan sesiapa pun. Bahkan hal yang kecil juga membuatku berasa ingin menangis tanpa sebab. Aku kehilangan kepercayaan terhadap orang disekeliling ku. Mungkinkah orang yang kurus itu merupakan mata-mata mama? Ataupun gadis bertudung itu memerhatikan gerak geri ku atas arahan mama? Aku menjadi paranoid. Aku sudah letih.

Perbualanku dengan rakan-rakan ku juga terjejas pada malam tadi apabila mereka bertanyakan soal kerja sekolah yang masih tidak aku jalankan. Mereka semua tertanya-tanya dimanakah keberadaan ku diketika ini. Aku menangis lagi memikirkan kerja-kerja sekolah yang aku lepas tangan begitu sahaja.

Menyalahkan mama dan daddy tidak mendatangkan apa-apa hasil memandangkan cuti ku pada kali ini disia-siakan begitu sahaja. Aku tidak berhenti menangis. Aku buntu. Apa yang harus aku lakukan? Tidakkah ini sesuatu yang keterlaluan? Keluar bercuti tanpa sebarang notis sehingga aku tidak dapat menjalankan tugasku sebagai seorang pelajar yang bertanggungjawab.

Aku merasa bersalah. Terhadap nenek yang benar-benar ingin melihatku pergi bercuti bersama keluarga ku. Terhadap rakan-rakan sekolah yang setia menunggu bahan untuk smart holiday minggu ini. Terhadap keluarga bapaku yang tidak mengerti akan kesulitankan ku. Terhadap guru teater yang mengharapkan ku. Terhadap diriku sendiri yang akan menanggung malu ketika cuti sekolah tamat.


Aku buntu. 
Dan terus menangis memikirkan jalan keluar yang belum tentu ada.